Friday 9 December 2011

Nasrudin Hassan Tantawi Memeningkan Kepalanya Sendiri



Membaca blog Episod Sebuah Perjuangan tulisan Ketua Pemuda PAS Pusat banyak mendatangkan persoalan dari pelbagai sudut pemikiran saya. Lantas setelah sel sel neuron otak saya diaktifkan, saya terpanggil untuk membalas apa yang ditulis oleh saudara Nasrudin Hassan Tantawi tentang “Kenapa PAS Tidak Bergabung Dengan UMNO” yang banyak beliau sentuh dengan keperluan dalam melakukan kebaikan dalam bergabung. Lebih tepat lagi pengabungan itu perlulah kearah kebaikan, bersatu padu melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah. Kita juga dilarang berkerjasama dalam hal hal yang mendatangkan kemudaratan atau yang menumbuhkan bibit bibit dosa serta permusuhan sesama umat manusia. Anda boleh membaca lebih lanjut tulisan saudara Nasrudin Hassan Tantawi disini

Setelah membaca, saya terfikir adakah Ketua Pemuda PAS Pusat ini menulis dalam keadaan separa sedar ataupun dia menulis sekadar tangkap muat bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh mahasiswa sewaktu Forum di UIAM bersama saudara Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Roslan Mohd Nor. Tidakkah beliau sedar yang PAS selama ini telah bergabung bersama sebuah parti yang chauvinis dan rasis? Tidak sedarkah beliau yang pakatan dimana PAS berada itu adalah satu Pakatan yang semakin lama semakin mengecilkan kekuatan Islam didalamnya? Tidak sedarkah Nasrudin Hassan Tantawi bahawa penglibatan PAS hari ini dalam Pakatan Rakyat hanyalah sekadar pelengkap "brochure" untuk memancing undi orang Islam / Melayu? Tidakkah saudara Ketua Pemuda PAS Pusat ini terdetik dalam pemikiran beliau bahawa gabung PAS,PKR dan DAP ini terjadi hanyalah pada keyakinan yang diterbitkan oleh Anwar Ibrahim semata?


Sedar atau tidak, dengan adanya PAS dalam Pakatan Rakyat hari ini telah lebih mencerminkan yang parti itu sebagai sebuah parti yang memanipulasikan Islam lebih dari memperjuangkan Islam itu sendiri. Ini dijelaskan lagi dengan beberapa siri kritikal antara PAS dan DAP dalam hal penarikan arak di Shah Alam serta kes gereja DUMC. Penutupan mulut dan pandangan kritis dari Dr. Hasan Ali dari menerajui PAS Selangor juga dilihat masyarakat sebagai satu hukuman yang didesak oleh DAP dalam hal kepentingan Islam terhadap PAS melalui Pakatan Rakyat. Sekiranya kita menyusur terus kepada dasar, hala tuju dan strategi parti PAS, PKR dan DAP nescaya kita akan bertemu lebih banyak wayar yang berserabut dicelah celah gabungan wayar yang cuba menjana kekuatan yang bersifat sementara.
Nasrudin Hassan Tantawi juga mengatakan perlunya kematangan dalam berpolitik. Mengelakkan politik adu domba, politik fitnah serta politik membuka aib dan caci maki dalam perjuangan. Tragedi kafir-mengkafir yang berlaku berpuluh tahun dalam arena politik tanah air itu datangnya dari siapa? Adu domba politik versi apa dan dari parti mana? Adakah dengan mengkafirkan sesama Islam dan bergabung dengan parti yang chauvinis itu adalah antara sebab yang PAS tidak perlu bergabung dengan UMNO? Dimanakah dalam pengabungan PAS,PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat itu yang menaikan martabat Islam atau sekurang-kurangnya membuat Islam itu lebih dihormati?

Seawal pengabungan PAS dalam Pakatan Rakyat, Presiden PAS dengan riangnya mengatakan bahawa DAP telah menerima dan memahami Islam, tapi secara umumnya rakyat tahu yang DAP hanya menerima Islam dengan PAS dalam hal untuk membentuk kerajaan, tidak lebih dari itu. Tetapi berapa ramai pemimpin PAS yang sedar dalam hal ini? adakah mereka sedar tetapi tidak mampu berbuat apa-apa atau mereka memang jenis yang rela untuk diperkudakan asal kekuasaan tetap milik mereka?



Bagi saya apa jenis pengabungan parti dalam membentuk pemerintahan di Malaysia haruslah menitik beratkan kepentingan Islam dan Melayu bersama. Gabungan yang liberal sehingga cuba menidakkan kepentingan Melayu dan Raja- Raja Melayu hanyalah satu gabungan parti yang mahu melihat Malaysia menjadi seperti Singapura. Mahu tidak mahu keadaan itu pasti akan mencetuskan huru-hara seperti yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969. Ketidak puasan hati yang meluap-luap setelah ada segelintir masyarakat cina yang rasis dari parti DAP dan GERAKAN yang mencerca melayu dengan ungkapan seperti “Mati Melayu,Sakai pergi masok hutan!” “Melayu sekarang ta' ada kuasa lagi” “Melayu keluar-apa lagi dudok di-sini” dan “Kita hentam lu,sekarang kita besar” telah  menyebabkan pertumpahan darah berlaku di Malaysia. Kebebasan bersuara yang kononnya cuba ditonjolkan Pakatan Rakyat pada hari ini juga sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan masyarakat. Mainan politik yang mereka lakukan hari ini dengan memproksikan kebebasan bersuara saling tak tumpah seperti apa yang pernah parti rasis mereka mainkan ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Perhimpunan haram, mencerca polis dan pasukan keselamatan lain adalah bibit bibit awal yang mewarnai peristiwa berdarah 1969 itu.


Apakah dengan begitu banyak rentetan peristiwa yang menghiris hati tiga kaum terbesar di Malaysia ini tidak dapat memaksa saudara Nasrudin Hassan Tantawi berfikir yang pengabungan PAS dengan sebuah parti yang berpaksikan perkauman yang cukup kuat seperti DAP itu salah dan boleh mendatangkan keadaan yang tidak sihat dikalangan masyarakat Malaysia dan umat Islam Malaysia khususnya?

Bila ditanya tentang pengabungan UMNO dan PAS saudara Nasrudin Hassan Tantawi menyuruh kita melihat kepada prinsip dan konsep parti secara jujur dan jelas. Suka saya bertanya apakah konsep dan prinsip yang diperjuangkan UMNO itu salah dari segi syarak? UMNO memperjuangkan MELAYU dan adakah perjuangan Melayu itu salah? Saya tidak nampak yang perjuangan UMNO  dalam membela Melayu itu satu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Perjuangan Melayu bukanlah satu perjuangan perkauman yang sempit,sekular atau asobiyah. Sebaliknya,ia menjadi tonggak kekuatan dalam membela Islam di Malaysia. Persoalan mengapa isu perjuangan Melayu ini diputar belitkan oleh PAS sedangkan takrif Melayu itu sendiri merujuk kepada agama Islam?

Takrif Melayu :

Seorang yang beragama Islam, lazim bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu..” - Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa tokoh juga merujuk Melayu itu kepada Islam seperti kenyataan Prof Dr. Aziz Bari dan Datuk Seri Harussani Zakaria berkenaan dengan Melayu.

Defini Melayu oleh perlembagaan yang longgar ini bersifat inklusif yakni merangkum dan Islamik kerana selain meletakkan Islam sebagi tonggak,ia juga tidak menjadikan warna kulit, umpamanya sebagai kriteria keMelayuan  - Prof Dr Abdul Aziz Bari

Tidak ada bangsa yang paling dimuliakan oleh Tuan di dunia ini selain daripada bangsa Melayu diMalaysia,yang mana didalam perlembagaan negaranya menyebut Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu ” - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria

Oleh yang demikian, penyataan Saudara Nasrudin Hassan Tantawi yang menyuruh kita melihat konsep dan prinsip parti secara jujur dalam pengabungan antara UMNO dan PAS adalah sekadar hanya untuk menjawab soalan tanpa cuba mencari titik sentuh antara dua parti Melayu terbesar di Malaysia ini. Sebagai rakyat,saya merasakan jika kita terlalu mencari perbezaan,sudah pasti perbezaan juga yang akan kita jumpa. Semoga kita semua berupaya dan diberikan pemikiran yang rasional serta ilham yang bagus dari illahi dalam melihat dan menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan kemashlahatan Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment