Sunday 16 December 2012

Putar Belit Kenyataan,Itulah Kerja Parti Yang Mengaku ISLAM



1. Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor yang lalu, akhbar Utusan Malaysia telah membuat temuramah khas bersama baginda Sultan yang telah disiarkan pada 9hb Disember 2012. Saya turut membaca dan menyiarkan sebahagian wawancara tersebut di sini dan menyediakan pautan wawancara penuh di sini. Tujuannya agar pembaca blog saya dapat membaca dan memahami keseluruhan teks titah baginda.
2. Namun saya dikejutkan dengan pertanyaan orang ramai, benarkah baginda Sultan sangat benci kerana dituduh oleh orang UMNO? Maka saya bertanya kembali, dari mana sumber dakwaan tersebut diperolehi? Sepanjang bacaan daan penelitian saya sebelum ini, baginda Sultan tidak pernah sesekali pun bermaksud sedemikian. Mereka menjawab, apa yang didakwa itu disiarkan dalam Harakah (merujuk kenyataan Dr Rani, Pesuruhjaya Pas Selangor) dan Malaysiakini.
3. Berbangkit dari persoalan yang ditimbulkan itu, maka saya membaca dan meneliti semula ketiga-tiga laporan dari Utusan (laporan wawancara penuh), Malaysiakini dan Harakah. Maka dari situ saya dapati tajuk berita yang digunakan sudah cukup untuk mengelirukan pembaca:
[Utusan] Tajuk Berita: Janji Sultan Sharafuddin – rujuk di sini
[Malaysiakini] Tajuk Berita : Sultan S’gor benci dituduh ‘orang Umno’ – rujuk di sini
[Harakah] Tajuk Berita: Sultan Selangor benci dituduh orang Umno – rujuk di sini
4. Dari tajuk berita yang digunakan, maka ada dikalangan pembaca yang telah menerima tafsiran yang salah terhadap titah baginda Sultan. Maka inilah yang menjadi salah satu punca kekeliruan yang timbul. Tajuk Harakah “Sultan Selangor benci dituduh orang Umno”, jika tidak difahami secara konteks maka ia boleh disalahertikan dengan membawa maksud “Sultan Selangor benci dituduh oleh orang UMNO” sedangkan apa yang dimaksudkan oleh baginda Sultan, “baginda benci apabila sering dituduh orang UMNO (penyokong UMNO) sedangkan baginda tidak menyebelahi mana-mana parti politik”.
5. Dalam dunia kewartawanan, sering kali berlaku dimana tajuk berita yang mengelirukan digunakan untuk tujuan tertentu. Salah satunya bagi menarik perhatian pembaca. Kedua, mungkin disebabkan ruang tajuk yang terhad maka ia cuba diringkaskan. Ketiga, ia sengaja dibuat untuk memberi mesej yang salah kepada pembaca atas kepentingan tertentu. Namun walau apa juga alasannya, saya berpendapat bilamana kita melaporkan titah Sultan yang sepatutnya dihormati maka perkara yang mengelirukan seperti ini perlu dielakkan. Apakah terlalu sukar kepada kita untuk memberikan sedikit perhormatan kepada baginda Sultan dengan tidak memanipulasi titah baginda.
6. Maka atas dasar itu saya agak keberatan untuk mengulas tentang isu ini pada awalnya, kerana mungkin dituduh oleh sesetengah pihak cuba mengheret Sultan dalam kancah politik. Dalam tulisan saya sebelum ini pun, saya cuba untuk tidak mengulas lebih lanjut titah baginda Sultan, sekadar menyiarkannya petikan dan pautan untuk dibaca agar dihayati semua pembaca dengan penuh keinsafan. Namun kali ini, saya merasa bertanggungjawab untuk membetulkan kekeliruan yang timbul hasil dari permainan politik sempit pihak tertentu ini.
7. Berikut adalah titah baginda sultan Selangor yang menjadi sumber rujukan asal:
SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh cakap banyak mengenai politik. Saya baca semua akhbar dan blog walaupun ramai kawan-kawan kata jangan baca blog. Tapi bagi saya maklumat ialah kuasa, jadi saya perlu membaca semua laman blog dan portal. Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. Tapi malangnya, dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang UMNO, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik.
boleh rujuk printscreen berikut:
titah sultan
titah2
8. Berikut pula apa yang dilaporkan oleh Harakah:
Sultan Selangor benci dituduh orang Umno
Mohd Rashidi Hassan, 12 Dis 2012
Kepimpinan PAS Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan Umno, tidak menyokong Umno dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang Umno.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sewaktu berbicara dengan penulis berkata, beliau menjunjung kasih terhadap baginda dan mahu hasrat Sultan dipatuhi semua pihak.
9. Jika dibandingkan antara kenyataan asal (Utusan) dan laporan oleh Harakah, walaupun kelihatan sama tetapi ia mendorong pembaca untuk membuat satu tafsiran yang salah tentang maksud sebenar baginda Sultan. Seandainya, akhbar pro UMNO ingin memanipulasi kenyataan baginda Sultan itu sepertimana dilakukan Harakah, ia boleh menterbalikkan perkataan UMNO dengan PAS sebagaimana berikut:
Kepimpinan UMNO Selangor menyambut baik dan amat menghargai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa baginda bukan PAStidak menyokong PAS dan sangat benci mendengar tuduhan bahawa baginda merupakan orang PAS.
Dengan kenyataan itu, maka pembaca diberikan persepsi yang buruk terhadap PAS kerana tidak disokong dan dibenci oleh baginda Sultan sedangkan hakikatnya Sultan tidak terikat dengan mana-mana parti politik mahu pun berniat sedemikian. Kedudukan baginda sendiri jelas berada diatas politik sebagaimana yang ditegaskan. Tentunya kedua-dua kenyataan tersebut tidak bertentangan dengan kenyataan baginda Sultan, tetapi ia sangat berniat jahat untuk memberikan persepsi yang buruk dengan memanipulasi titah baginda Sultan.
10. Dalam kenyataan Dr Rani berikutnya pula ditambah:
Mengulas lanjut perkara tersebut, Dr Rani mengharapkan semua pihak, khususnya Umno, supaya tidak lagi cuba ‘mempengaruhi’ Sultan untuk kelihatan ‘bias’, yang akhirnya persepsi negatif dilemparkan terhadap baginda.
Tegas Dr Rani, pihak yang terbabit menasihati Sultan sama ada di Istana, mahupun dalam MAIS, JAIS dan SUK harus berhati-hati dan jangan sekali-kali mencemar kemuliaan baginda dengan agenda Umno.
“PAS Selangor amat menyanjungi Tuanku dan berharap para penasihat Sultan memastikan selepas ini sebarang kenyataan yang hendak dibuat atas nama baginda, hendaklah berhati-hati harus tidak dilihat ‘bias’,” ujarnya.
11. Saya merasakan kenyataan yang dibuat ini sangat biadap terhadap baginda Sultan. Jika Dr Rani meneliti titah berikutnya, baginda Sultan bertitah dengan membuat penegasan sebagaimana berikut:
Hakikatnya Najib ada banyak kerja lain hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri.
Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar, “apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang UMNO di dalam blog”. Saya yakin sekarang kerana beri wawancara kepada Utusan, orang akan kata saya orang Utusan. Padahal pihak Utusan yang minta jumpa.
Macam kes Talam dan sebagainya, saya tidak campur tangan. Kalau tidak suka kepada isu pentadbiran, saya akan minta setiausaha sulit menulis surat kepada kerajaan negeri bahawa perkara itu tidak betul.
Kalau perkara lebih penting, saya akan tulis sendiri kepada Menteri Besar. Tetapi kalau melibatkan agama, bangsa Melayu dan perpecahan perpaduan, saya akan kritik secara terbuka dalam ucapan, itu prinsip saya.
Kalau dalam soal pentadbiran, saya akan tegur Menteri Besar kalau tidak betul, sama ada melalui perjumpaan atau menulis surat, tetapi tidak secara terbuka.
Malangnya, terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang UMNO. Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas.
12. Jika baginda Sultan sendiri telah membuat penegasan bahawa apa juga tindakan baginda dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri Selangor tanpa dipengaruhi oleh kepentingan parti politik tertentu, maka apa pula maksud Dr Rani mengeluarkan kenyataan tersebut? Apakah Dr Rani berfikir, bahawa setiap keputusan baginda Sultan yang tidak menyebelahi partinya disebabkan oleh pengaruh UMNO? Apakah pada pandangan Dr Rani, bahawa semua penasihat istana, MAIS, JAIS dan SUK adalah orang UMNO dan tiada integriti? Saya tidak mahu membuat tuduhan, tetapi semua boleh menilai pihak mana yang dimaksudkan oleh baginda Sultan yang bercakap ikut sedap mulut! Pastinya baginda lebih arif tentang siapa yang dimaksudkan. Baginda telah memberi nasihat dengan penuh bijaksana dan cukup berhati-hati untuk menjaga nama baik semua pihak. Apakah manusia seperti Dr Rani ini begitu susah untuk menerima nasihat tanpa banyak kerenah. Jika nasihat dari seorang Sultan pun susah untuk diterima, apakah jaminan orang ini sanggup menerima nasihat dari rakyat kebanyakan?
13. Saya mengharapkan Dr Rani sedar tidak terus menunjukkan keangkuhan dan kesombongan semata-mata kerana beliau telah dipilih oleh rakyat. Mana-mana sultan sekali pun, akan bertindak berdasarkan lunas undang-undang yang telah diperuntukkan kepada baginda dengan cukup berhati-hati berdasarkan kepentingan rakyat dan negeri. Berdasarkan perlembagaan negara, Sultan dan Raja berada diatas politik. Dengan bahasa mudahnya, sehebat mana pun pemimpin parti politik, beliau tetap rakyat yang berada dibawah naungan Sultan sebagaimana yang diamalkan dalam sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
14. Dalam kenyataannya yang disiarkan Harakah itu, saya dapati banyak tuduhan-tuduhan yang dibuat kepada UMNO yang kononnya menggunakan istana untuk kepentingan politik. Apa yang cuba digambarkan seolah-olah Sultan langsung tidak mampu untuk berfikir dan mengikut sahaja arahan dari pemimpin UMNO. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang tuduhan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Selangor ini, saya akan siarkan petikan tuduhan yang telah dibuat dan biarlah rakyat menilainya. Berikut tuduhan dan fitnah yang cuba disebarkan terhadap UMNO dan Istana oleh Dr Rani dan Harakah:
Namun orang politik ada juga ragam dan karenahnya. Khususnya bagi Umno yang sering mempergunakan Raja untuk kepentingan mereka, tambahan pula juak-juak Umno yang puluhan tahun mendominasi institusi Istana, tidak mudah untuk menerima perubahan yang berlaku dalam kerajaan Selangor.
Di Perak, walaupun ditekan dengan begitu hebat selama 11 bulan dan dilaga-lagakan dengan Sultan, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menunjukkan sikap profesional beliau, sehinggalah Umno menggunakan Raja untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Ini berbeza dengan Umno. Mereka bukan sahaja meminda Perlembagaan. Mereka juga memaki hamun Raja-Raja dalam Perhimpunan Agung Umno. Menderhaka kepada Sultan, menabalkan Sultan ‘boneka’ di Kelantan, malahan membinatangkan Sultan Terengganu dalam satu demonstrasi di hadapan Istana Terengganu.
Sehinggakan ada kalangan Istana tertentu yang secara terbuka menyokong Umno dan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat.
Justeru, molek benarlah jika Sultan Selangor sendiri sudah bertitah, baginda cukup benci dituduh orang Umno. Malah apa yang dititahkan Sultan Selangor, harus juga dicontohi Sultan Perak, Sultan Johor dan Sultan Pahang.
Bagi membantu pembaca memahaminya, saya letakkan pautan kenyataan penuh dari Harakah yang boleh diakses di sini.
15. Pada pandangan saya, apa yang cuba dilaporkan oleh akhbar Harakah jelas satu bentuk pemberitaan yang tidak bertanggungjawab serta cuba memanipulasi kenyataan istana untuk meraih keuntungan politik. Perbuatan sebegini mengambarkan bahawa golongan ini sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kuasa hinggakan sanggup memanipulasi dan memutarkan belit fakta untuk mengelirukan rakyat.
16. Sebelum ini kita sudah cukup faham pun dengan gaya pemberitaan sensasi dan fitnah yang diamalkan oleh Harakah dan akhbar pakatan rakyat. Namun, kali ini saya agak terkilan bila mana titah baginda Sultan pun turut sama menjadi bahan propaganda murahan mereka. Maka dengan apa yang berlaku ini, saya mula faham kenapa Harakah yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang kononnya memperjuang Islam telah dkritik hebat oleh ahli Pas sendiri sewaktu Muktamar yang lalu. Dengan apa yang dilakukan ini, seolah-olah wujud usaha-usaha terancang untuk memburukkan instusi raja dengan cara yang cukup halus. Maka tidak hairanlah bila orang seperti Datuk Hasan Ali yang cuba mempertahankan Melayu, Islam dan Raja dipecat kerana dianggap sudah tidak sealiran dengan mereka ini.
17. Kepada baginda Sultan Selangor, saya memohon ampun kerana terpaksa membangkitkan isu ini. Apa yang cuba saya lakukan hanyalah untuk menjelaskan segala kekeliruan yang cuba dipropagandakan. Semoga kita semua dibukakan hati, dilapangkan dada untuk menerima segala nasihat dan teguran untuk menjadi insan berhati mulia.
Satim Diman
Ketua Pembangkang Dun Selangor

1 comment:

  1. saya mengucapkan banyak terimakasih kepada KI HADAK yang telah menolong saya dalam kesulitan,ini tidak pernah terfikirkan dari benak saya kalau nomor yang saya pasang bisa tembus dan ALHAMDULILLAH kini saya sekeluarga sudah bisa melunasi semua hutang2 kami,sebenarnya saya bukan penggemar togel tapi apa boleh buat kondisi yang tidak memunkinkan dan akhirnya saya minta tolong sama KI HADAK dan dengan senang hati beliau mau membantu saya..,ALHAMDULIL LAH nomor yang dikasi KI semuanya bener2 terbukti tembus dan baru kali ini saya menemukan dukun yang jujur,jangan anda takut untuk menhubungiya jika anda ingin mendapatkan nomor yang betul2 tembus seperti saya,silahkan hubungi KI HADAK DI 085=259=457=111 ingat kesempat tidak akan datang untuk yang kedua kalinya dan perlu anda ketahui kalau banyak dukun yang tercantum dalam internet,itu jangan dipercaya kalau bukan nama KI HADAK

    ReplyDelete